Salam Sejahtera

Selamat datang ke eAkademi Pemakanan Awal Asia Tenggara (Early Nutrition eAcademy Southeast Asia) - ENEASEA.

Sebagai satu Projek Pembangunan Kapasiti Erasmus+, ENEASEA membangunkan e-pembelajaran inovatif untuk doktor perubatan dalam bidang pemakanan awal usia bagi Asia Tenggara. Pembentukan projek pendidikan sains yang bersesuaian dengan keperluan rantau Asia Tenggara ini adalah kerjasama oleh pelbagai pihak institusi/universiti dan persatuan pemakanan dari Eropah, Thailand dan Malaysia. Matlamat ENEASEA  ialah untuk menawarkan saranan dan maklumat terkini tentang pemakanan awal semasa 1,000 hari pertama kehidupan yang boleh digunakan oleh profesional dalam penjagaan kesihatan seperti pakar obstetrik, pakar sakit puan, pakar kanak-kanak dan boleh dimanfaatkan oleh pakar-pakar yang lain dalam komuniti penjagaan kesihatan seperti jururawat, bidan dan pakar pemakanan dan dietetik.

Walaupun pembangunan ekonomi yang memberangsangkan di Asia Tenggara, cabaran-cabaran berkait dengan pemakanan masih wujud dalam kalangan rakyat. Sebagai contoh, masalah kekurangan nutrien dan obesiti semakin meningkat dan mengakibatkan beban berganda malpemakanan. Keadaan ini menjadi satu kebimbangan terutama terhadap kesihatan awam kerana malpemakanan (kekurangan nutrien dan obesiti) meningkatkan risiko bagi penyakit diabetes dan penyakit-penyakit tidak berjangkit  yang lain. Jika keadaan ini dibiarkan, maka ia boleh membawa kesan yang buruk terhadap pembangunan ekonomi negara dan serantau serta mempengaruhi kesihatan, prestasi dan produktiviti rakyat.

Cara pemakanan dan gaya hidup dari awal kehamilan sehingga usia awal kanak-kanak iaitu 1,000 hari pertama kehidupan adalah sangat penting. Tempoh kritikal ini boleh mempengaruhi kesihatan individu dalam jangkamasa yang panjang, prestasi kehidupan dan risiko untuk menghidap sebarang penyakit. Oleh demikian, peningkatan ilmu dan amalan professional adalah kunci dalam mengatasi masalah beban berganda yang berkaitan dengan malpemakanan. Setiap pertemuan doktor dengan pesakit merupakan peluang yang baik untuk menggalakkan perubahan yang positif untuk kesihatan.

ENEASEA boleh memenuhi keperluan ini dengan menawarkan:

  • satu kurikulum khas tentang masalah kesihatan umum tertentu yang juga memenuhi keperluan profesional di rantau Asia Tenggara
  • modul e-pembelajaran dalam bahasa Inggeris
  • pakej pembelajaran individu untuk memenuhi keperluan pengguna melalui proses padanan kandungan secara automatik (penyesuaian massa)

ENEASEA direkabentuk khas untuk sub-pengkhususan bagi profesional dan integrasi dalam program pengajian   pra- dan pascasiswazah.

 

Dengan kerjasama daripada semua pihak, kita boleh mencapai matlamat untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan semua!

 

Sila hubungi Pejabat Projek ENeA jika anda berminat untuk menggabungkan kurikulum kami dalam program latihan anda atau ingin bekerjasama dalam projek ini atau projek yang akan datang.